Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jambatan tersebut yang menelan peruntukan RM145 juta dijangka siap pada Mac depan dengan status kemajuan fizikal 96 peratus ketika ini.

Beliau berkata, masalah vandalisme berlaku di kawasan pembinaan jambatan berkenaan apabila besi yang digunakan dicuri.

"Perbuatan ini akhirnya akan menyusahkan orang ramai sendiri kerana boleh menyebabkan kelewatan projek, di samping mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat tapak tersebut, hari ini.

Projek tersebut merupakan jalan alternatif bagi menangani kesesakan lalu lintas, berikutan pembangunan pesat di Matang, Petra Jaya dan kawasan sekelilingnya.

Terdahulu, beliau melawat projek naik taraf Jalan Batu 10 ke Batu 15, Jalan Kuching- Serian yang dijangka siap pada penghujung Mei dengan status kemajuan fizikal terkini adalah 82.9 peratus.

Apabila siap nanti, projek itu akan memberi keselesaan dan kelancaran perjalanan bagi pengguna dari Kuching ke Serian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan juga sedang dicari bagi menghubungkan jalan pintas sepanjang 4.5 kilometer (km) selepas jambatan itu yang akan menghubungkan Batu Kawa.

"Dianggarkan kos diperlukan bagi projek tersebut adalah RM90 jut, berikutan keadaan struktur tanah dan nilai tanah di kawasan itu yang tinggi.

"Namun, kerajaan Pusat melalui Kementerian Kerja Raya sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur di negeri ini," jelasnya. - UTUSAN ONLINE