Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Lee Kim Shin berkata, kerajaan negeri merancang untuk membina pusat maklumat sejarah di samping membuat kajian dan dokumentasi kawasan bersejarah itu.

“Cadangan peningkatan kemudahan pelancongan Gunung Ngeli sudah dikemukakan menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), namun ia tidak diluluskan dan ia dipertimbangkan dicadangkan semula dalam RMK12.

“Gunung Ngeli merupakan bekas kawasan perlombongan arang batu seawal 1850 semasa era pemerintahan Brooke. 

“Selain itu, terdapat sebuah kepala kereta api kini ditempatkan di kawasan Gung Ngeli New Service Centre yang masih dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Awla Dris (PBB-Simunjan) menegenai inisiatif untuk membangunkan Gunung Ngeli sebagai pusat pelancongan dan bersejarah di Sarawak pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 di sini sebentar tadi.

Tambahnya, dari segi inisiatif tempatan, Majlis Daerah Simunjan sudah melakukan beberapa pembaharuan termasuk Pelan Induk Landskap antaranya  dicadangkan membina denai alam, wujudkan taman herba, mengekalkan spesis pokok hutan seperti tongkat ali, pokok kayu hujan panas dan orkid liar.

“Selain itu, terbinanya Jambatan Batang Sadong juta dapat memberi kemudahan kepada pengunjung untuk melawat ke Daerah Simunjan dan secara tidak langsung memberi peluang untuk mempergiatkann promosi Gunung Ngeli ini.

“Industri inap desa dan pembangunan kraftangan di kawasan ini mempunyai potensi tinggi untuk dimajukan dengan pemandangan Gunung Ngeli yang indah disamping nilai sejarah perlombongan arang batu di situ,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE