Anggota Dewan Undangan Negeri Pending Violet Yong Wui Wui berkata beliau berasa sedih oleh sebab geran khas itu tidak disemak semula sejak 1969 seperti yang didakwa oleh peguam kerajaan negeri Sarawak Datuk Seri JC Fong.


Beliau mendakwa kerajaan negeri di bawah rejim Barisan Nasional (BN) terus membisu dan tidak membuat sebarang permohonan untuk kerajaan persekutuan sebelum ini menyemak semula geran khas itu sejak 49 tahun lepas.


Violet Yong Wui Wui
Violet Yong Wui Wui 

"Apa yang nyata kerajaan negeri di bawah era BN tidak menjalankan peranannya dalam melindungi kepentingan negeri ini dan kepentingan penduduk Sarawak," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP Sarawak di sini hari ini.


Beliau bertanya kenapa hanya sekarang JC Fong mendedahkan perkara itu kepada umum, dan menambah, sekiranya tidak berlaku pertukaran kerajaan pada 9 Mei lepas, perkara itu akan terus dirahsiakan.

Fong mendedahkan perkara itu dalam Forum 'Hak Sarawak di Bawah MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) di sini baru-baru ini di mana beliau diundang sebagai seorang daripada penceramah dalam forum berkenaan.


Beliau berkata kerajaan Malaya bersetuju dengan pembentukan Malaysia, geran khas akan diberi di bawah Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan dan akan disemak semula setiap lima tahun.


Fong berkata selain daripada geran khas ini, Sarawak juga berhak ke atas hasil lain, seperti duti import dan eksais ke atas produk petroleum, duti eksport ke atas produk perhutanan dan kayu-kayan serta galian, termasuk minyak galian.


Beliau berkata duti import dan eksais tidak dikutip disebabkan Malaysia telah menjadi pihak kepada Perjanjian Perdagangan ASEAN, tetapi kehilangan sumber hasil (bernilai lebih RM300 juta setahun) tidak digantikan dengan sumber hasil gantian atau nilai sama seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA