Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju berkata, bendera Malaysia atau Jalur Gemilang membawa makna yang cukup simbolik iaitu penyatuan Sarawak bersama Sabah dan Semenanjung membentuk sebuah negara.

Justeru, ujarnya, sambutan Hari Kemerdekaan perlu diambil peluang oleh semua rakyat negara ini untuk menunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan bendera kebangsaan.

“Pada masa inilah, kita rakyat Malaysia dapat bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan.

“Jalur Gemilang ini menunjukkan kita bersama dalam Malaysia maju menuju ke hadapan,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) 2018, Peringkat Bahagian Sri Aman dan Betong di Rumah Rosita Dugat, Nanga Budu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Jabatan Penerangan Bahagian Sri Aman dan Betong, Roszilawati Nor Aziz; Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mordani Tanin; Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman, Muhammad Alwi; Pegawai Jabatan Penerangan Saratok, Florance Sebastian Unting, wakil-wakil Ketua jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini agak berbeza kerana negara baru tiga bulan ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ali Biju memukul gong sebagai simbolik Perasmian Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang
ALI Biju (empat kiri) memukul gong sebagai simbolik Perasmian Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) 2018, Peringkat Bahagian Sri Aman dan Betong di Rumah Rosita Dugat, Nanga Budu di Saratok hari ini. - UTUSAN ONLINE

Katanya, dalam tempoh tiga bulan, terdapat beberapa kepincangan pemerintahan sebelum ini telah diperbetulkan oleh PH demi menunjukkan kecintaan terhadap negara.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik seperti gotong-royong mengantung Jalur Gemilang di rumah panjang, menjahit Jalur Gemilang oleh masyarakat berbilang kaum terdiri daripada Iban, Melayu dan Cina, pertandingan mewarna Jalur Gemilang bagi warga emas, senam seni patriotik serta pertandingan karaoke patriotik telah dianjurkan bersempena program berkenaan. - UTUSAN ONLINE