Seorang penonton yang mahu dikenali Ain memberitahu, suasana santai menyaksikan persembahan teater itu bertukar kecoh apabila kedengaran suara jeritan dari belakang pentas semasa kumpulan kedua sedang membuat persembahan bertajuk `Ohhhaaa' pada pukul 8.30 malam.

Katanya, sebaik sahaja terdengar jeritan itu, beberapa pelakon yang sedang membuat persembahan turut tiba-tiba rebah dan menjerit.

"Keadaan bertambah tidak terkawal apabila ada pelakon yang diserang histeria berlari keluar dewan dan beberapa penonton turut menjadi mangsa gangguan makluk halus itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Ain, kejadian histeria itu dipercayai berpunca apabila bentuk persembahan kumpulan teater kedua terbabit mempunyai unsur memuja sesuatu atau membangkitkan semangat halus.

Melihat keadaan semakin teruk, katanya, beberapa pengamal perubatan Islam telah dipanggil untuk melaungkan azan di bangunan tersebut.

Katanya, kekecohan yang berlaku hampir dua jam itu akhirnya berjaya dikawal dengan bantuan pengawal Islam berkenaan.

"Ketika ustaz berkenaan melaungkan azan, ada juga beberapa peserta berteriak dengan suara yang menakutkan," ujarnya.

Ekoran kejadian itu, katanya, festival pementasan teater yang baru bermula itu terpaksa dibatalkan, malah difahamkan insiden serangan histeria pernah dialami kumpulan peserta persembahan semasa membuat raptai kelmarin, iaitu pukul 1 pagi selepas tamat latihan. - UTUSAN ONLINE