Melihat potensi tersebut, Alhadi Mat, 37, mengambil inisiatif mewujudkan portal ebintulu.com sebagai platform pemasaran perkhidmatan dan produk syarikat usahawan Bumiputera Sarawak secara dalam talian.

"Portal ebintulu.com bertujuan mengetengahkan dan memasarkan perniagaan Bumiputera ataupun produk Bumiputera Sarawak. Portal ini tidak terhad untuk usahawan Bintulu sahaja, malahan ahli perniagaan dari seluruh Sarawak boleh pamerkan perniagaan mereka di ebintulu.com.

"Jika ditanya kelebihan portal ini, usahawan kecil dapat meletakkan, pamerkan perniagaan mereka dengan bayaran agak murah dan sekiranya usahawan kecil yang kita rasa perlu dibantu...tiada bayaran dikenakan," katanya kepada pemberita semasa pelancaran portal tersebut di sini hari ini.

Pelancaran portal tersebut disempurkan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.

Memiliki pengalaman lebih lima tahun dalam bidang teknologi maklumat, Alhadi berkata internet menjadi medium penting kepada masyarakat ketika ini, malah pemasaran menerusi kaedah digital membolehkan usahawan tanpa mengira latar belakang serta umur mencapai kejayaan tanpa had.

"Dalam portal ini akan dimasukkan direktori seperti usahawan ICT dan Multimedia; kecantikan dan produk IKS; kontraktor sivill; kontraktor elektrikal serta kontraktor minyak dan gas. Turut disediakan hyperlink agensi kerajaan dan badan berkanun yang bersesuaian dengan keperluan usahawan.

"Portal ini akan menjadi pusat sehenti untuk usahawan sebagai rujukan mereka atau kepada orang ramai yang ingin mencari perkhidmatan disediakan usahawan. Pada masa ini ebintulu.com sudah menyenaraikan 20 usahawan dan dijangka jumlah akan meningkat kepada 50 orang menjelang hujung tahun ini," katanya.

Sementara itu, Alhadi berkata sebagai permulaan pihaknya turut mengadakan seminar untuk berkongsi pengalaman mengenai ekonomi digital kepada usahawan.

"Seminar pertama kita hari ini melibatkan 30 usahawan. Antara pengisian seminar ialah berkongsi maklumat keselamatan siber, penggunaan laman sesawang dan penggunaan media sosial serta internet dalam keusahawanan," katanya. - BERNAMA