Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, institusi tersebut merupakan DUN tertua di negara ini setelah mesyuarat pertama diadakan melalui General Council di Bintulu pada 8 September 1867.

“Dalam majlis pertama itu, kita sudah mempunyai wakil tempatan yang menyuarakan pandangan dan maklum balas daripada masyarakat ketika pemerintahan Charles J. Brooke.

“Justeru, sambutan ini cukup signifikan yang memperlihatkan sistem demokrasi yang telah lama diamalkan dan diteruskan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan logo Sambutan Ulang Tahun Ke-150 DUN Sarawak di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Speaker, Datuk Gerawat Gala; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Induk, Datuk Mohamad Naroden Majais.

Sementara itu, Mohamad Asfia memberitahu, sebanyak sembilan acara tonggak dan sembilan program DUN Bersama Rakyat dirancang dalam tempoh setahun bermula hari ini.

“Sembilan acara tonggak ini antaranya pelancaran logo dan buku sambutan, program DUN Bersama Rakyat, perasmian Jambatan Emas, e-Hansard, pameran, istiadat perbarisan, persidangan khas dan jamuan negeri,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE

Info 9 acara DUN Bersama Rakyat:-

1. Pentas Rakyat & persembahan bunga api

2. Pertandingan fotografi & swafoto

3. Pertandingan catur

4. Pertandingan memancing

5. Pertandingan memasak

6. Senamrobik

7. Pertandingan mewarna & melukis bangunan DUN

8. Pertandingan gubahan bunga

9. Hari Terbuka DUN