Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, janji tersebut telah dibuatnya pada tahun lalu di Miri untuk menambah lagi RM1 juta geran pada tahun ini.

“Saya hanya melunaskan janji sebelum ini dan anda perlu tahu Sarawak merupakan negeri yang terbesar di negara ini.

“Ada orang ragu-ragu, takut saya tak dapat melaksanakannya namun bersabarlah dan kita akan memintanya (hak) berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Geran 2018 kepada sekolah menengah persendirian Cina di Sekolah Menengah Min Lit Batu Kawa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Senator Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), Datuk Seri Wong Soon Koh dan Pengerusi Persatuan Sekolah Menengah Persendirian Cina Bersatu Sarawak , Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk pembinaan blok baharu Sekolah Menengah Min Lit Batu Kawa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti sebidang tanah di Miri bagi persatuan itu untuk dijadikan aset untuk dibangunkan.

“Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (bekas Ketua Menteri) dan saya mahu membantu sekolah Cina disebabkan pendidikan adalah penting untuk semua.

“Malah, sekolah ini bukan hanya mempunyai pelajar Cina malah bumiputera,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE