Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata keunikan ini akan melindungi negara dan perpaduan rakyat di samping membolehkan mereka terus memahami antara satu sama lain dalam tahun-tahun yang mendatang.


"Kita harus sedar bahawa amalan yang kita lakukan ini memelihara perpaduan dan integrasi nasional jauh menandingi peristiwa umum lain, dan kerajaan sedang berusaha untuk menggalakkannya ke arah memperteguhkan perpaduan kita dalam kalangan pelbagai kaum.


"Saya berpendapat ini perkara paling hebat yang ada di Malaysia dan tidak dapat ditandingi negara lain," kata beliau dalam perutusan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.


Beliau berkata meskipun akan berlaku perubahan dalam cara ia dilakukan, kesedaran bahawa menjadi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Cina, Iban, Melayu, Bidayuh atau Orang Ulu membawa maksud mereka tidak hidup terasing dalam budaya mereka sendiri.

Abdul Taib berkata ini merupakan perkara yang baik tentang Malaysia kerana rakyat berupaya memahami bahawa bercampur gaul antara kaum tidak memusnahkan budaya sesuatu kaum itu.


"Saya sudah beberapa kali meraikan Tahun Baharu Cina dan bagi saya, inilah masa yang terbaik untuk saya menzahirkan penghargaan atas persahabatan dengan rakan-rakan saya daripada kaum Tionghua.


"Ada kalanya saya berjumpa semula bekas rakan sekolah saya, namun malangnya jumlah mereka kini semakin berkurangan," katanya.- BERNAMA