ABDULLAH SAIDOL
ABDULLAH SAIDOL 

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol berkata, belanjawan tersebut cantik di atas kertas namun belum dapat dilihat keaslian perlaksanaan dan hasilnya.

“Seperti dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa belanjawan PH berdasarkan struktur ‘Zero-Based Budgeting’.

“Mengikut kefahaman saya ianya umpama hasrat (wish list) untuk rakyat namun tiada idea bagi kekuatan kewangan sendiri dalam memenuhi janji-janji itu,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini semalam.

Tambahnya, peruntukan buat Sarawak adalah kurang berbanding sebelum ini yang agak mengecewakan.

“Mereka gagal mengetengahkan keperluan pembangunan luar bandar dan ketidaktentuan dalam terma penyampaian.

“Secara kesimpulan, saya merasakan mereka skeptikal dengan belanjawan sendiri apabila banyak membuat dakwaan dan alasan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya berharap agar kajian rasionalisasi kos Projek Lebuhraya Pan Borneo yang dibuat tidak akan mengkompromi soal kualiti dan keselesaan pengguna nanti.

“Ini kerana tadbir urus yang ditetapkan dalam pelaksanaan projek itu telah tersedia dan dipatuhi, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Projek Pan Borneo adalah ‘game changer’ bagi rakyat Sarawak dan Sabah yang perlu diteruskan seperti dirancang demi kemudahan serta keselesaan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, bagi projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan serta pendidikan diharap keutamaan diberikan kepada kawasan yang benar-benar memerlukan terutama di kawasan luar bandar. - UTUSAN ONLINE