Dusit Jaul
Dusit Jaul 

Dusit, 61 yang jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) di Jabatan Perdana Menteri bagi negeri Sarawak, berhasrat membuat perubahan ke arah yang lebih baik dari segi hubungan negeri dan persekutuan.

Pelantikannya yang berkuat kuasa semalam diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang berada di negeri ini bagi lawatan rasmi dan Dusit bertanggungjawab melaporkan secara terus kepada menteri itu.


"Terima kasih kepada menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menguruskan hal ehwal kementerian di Sarawak* beri saya masa enam bulan untuk melaksanakannya.


"Bagi saya, interaksi langsung (di antara pegawai kerajaan dan pemimpin politik peringkat negeri dan persekutuan) amat penting agar kita saling memahami akan keperluan masing-masing," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.


Tugas beliau antaranya menyelia kesemua agensi bawah KKMM di Sarawak iaitu Jabatan Penerangan, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Pos Malaysia dan Telekom Malaysia, kata Dusit yang akan bertemu dengan kesemua mereka dalam masa terdekat. 


Mengenai cara meningkatkan hubungan di antara kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri, beliau berkata perbezaan platform politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bekerjasama.


"Kita perlu berbincang, bagi saya tiada halangan* lagipun pada akhirnya kita bekerja untuk rakyat, justeru sama ada daripada pusat atau negeri, kita bertanggungjawab memperkasa rakyat dalam apa juga cara yang boleh," kata Dusit yang berasal dari sebuah kampung Iban di Jalan Gedong, Serian.


Dusit yang juga Presiden Persatuan Graduan Dayak Sarawak merupakan rakyat Sarawak kedua dilantik ke jawatan penting oleh kerajaan persekutuan semasa, selepas pelantikan perunding pengurusan Dr John Brian Anthony sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu tahun lepas. 


Sementara itu, John Brian yang juga daripada komuniti Iban, mengalu-alukan pelantikan Dusit dan menyifatkan pelantikan itu adalah berasaskan kepimpinan dan pengalaman luas Dusit dalam perkhidmatan awam persekutuan.
 BERNAMA