Majlis serah terima tugas antara Azman dengan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim yang sebelum ini memangku tugas tersebut disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zamri Yahya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini.

Azman dalam ucapannya berkata, fokus utama beliau ialah untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti yang termaktub di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.

"Sebagai Pesuruhjaya Polis baharu, saya mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti dibawah Akta Polis, berkenaan keselamatan Sarawak saya akan lihat tanpa mengabaikan tugas serta tanggungjawab tersebut untuk pastikan keselamatan negeri ini terjamin.

"Hasilnya ialah kesejahteraan, keharmonian, serta keamanan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Zamri berkata sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak ke-24, Azman dihantar khusus untuk memacu serta memimpin PDRM Sarawak ke status lebih tinggi seterusnya mewujudkan suasana lebih harmoni, selamat kepada masyarakat di negeri ini.

Beliau berkata, negeri ini juga berada dalam keadaan yang aman menyaksikan hanya 3,713 kes dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 9 Julai lalu, berbanding 4,096 kes bagi dalam tempoh sama tahun lepas.

"Berlaku pengurangan kes sebanyak 383 kes atau 9.35 peratus, tiada kes-kes ekstrem yang berlaku kecuali kes lazim seperti curi, ragut dan pergaduhan. Dengan dibawah pimpinan baharu ini, kadar jenayah akan dapat diturunkan lagi dengan lebih baik pada masa depan," katanya.

Zamri juga berharap polis Sarawak akan memberi tumpuan kepada jenayah rentas sempadan yang berlaku di Tebedu, dekat Serian yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

"Antara perkara dibangkitkan ialah kes penyeludupan dadah dari Sarawak ke Kalimantan, kita akan pastikan pusat pemeriksaan dikemaskan lagi oleh barisan hadapan kita, terus kolaborasi dengan Indonesia untuk pastikan siapa terlibat serta mengekang penyeludupan daripada terus berlaku," katanya. - BERNAMA