Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sumbangan tersebut bagi menghargai pengorbanan tinggi mereka dalam berkhidmat terutama ketika hari perayaan demi keamanan dan ketenteraman yang dikecapi rakyat hingga hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sememangnya mempunyai penekanan dalam kerja-kerja kebajikan.

“Insya-Allah, kita akan terus memberi peruntukan untuk semua kerja-kerja kebajikan di negeri ini seperti bantuan bulanan jika ia dihentikan kerajaan Pusat.

“Mereka kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah termasuk bekas tentera dan polis perlu dibantu yang mana terbaharu kerajaan negeri telah menurunkan 50 peratus premium tanah iaitu daripada RM5,000 kepada RM2,500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Sumbangsih Kuih Raya 2018 oleh Jabatan Wanita dan Keluarga (JWKS) dan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (Sabati) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing; isteri Ketua Menteri merangkap Pengerusi Sabati, Datin Patinggi Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Pengarah JWKS, Noriah Ahmad.

Abang Johari berkata, beliau bersama rakan-rakan dalam kerajaan negeri memegang falsafah bahawa kalau kita memberi, Tuhan akan menambah (rezeki).

“Sebab itu, kerajaan negeri Insya-Allah akan mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan menambah lagi kerja kebajikan,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada Clare Rewcastle Brown disenarai hitam daripada memasuki Sarawak, Abang Johari memberitahu, pengasas dan editor Sarawak Report itu telah berada dalam senarai berkenaan sejak kepimpinan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem lagi.

Katanya, buat masa ini beliau masih belum membuat keputusan terbaharu tentang perkara itu.-UTUSAN ONLINE