Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr. Abang Johari Tun Openg berkata, secara keseluruhannya, Bajet 2018 Sarawak memperuntukan RM8.226 bilion untuk mencapai pembangunan ekonomi yang lebih baik dan seimbang termasuk tumpuan dalam ekonomi digital.

Katanya, pecahan belanjawan tersebut melibatkan RM5.745 bilion atau 70 peratus untuk perbelanjaan pembangunan, manakala RM2.481 bilion bagi pengurusan.

“Sebanyak enam tunjang ditumpukan oleh bajet kali ini iaitu pembangunan, ekonomi digital yang menjadi kunci utama transformasi ekonomi, agenda transformasi Sarawak, pembangunan ekonomi dipacu pelaburan, sektor swasta sebagai penggerak utama dan sistem penyampaian perkhidmatan efisien,” katanya dalam ucapan ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pagi ini.

Menurut Abang Johari, persekitaran ekonomi global dijangka terus mencabar pada tahun depan.

Justeru, katanya, kerajaan negeri perlu benar-benar memacu strategi pembangunan khususnya ekonomi digital, transformasi luar bandar dan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan termasuk pengurusan pelaburan bagi masa depan. - UTUSAN ONLINE