Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 20 hingga 32 tahun itu dibuat pada pukul 1.30 petang di sebuah rumah menerusi operasi dijalankan oleh pasukan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Beliau berkata, pemeriksaan badan ke atas seorang suspek lelaki menjumpai tiga keratan tiub penyedut minuman berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.85 gram dalam poket seluar hadapan sebelah kiri yang dipakainya.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi empat paket plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu dianggarkan seberat 11.70g gram” katanya dalam kenyataan di sini pagi ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah pula menemuka satu paket plastik lutsinar mengandungi 21 keratan penyedut minuman pelbagai saiz berwarna hijau muda berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 10.07 gram.

Selain itu, katanya, polis turut menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi 25 keratan penyedut minuman pelbagai saiz berwarna kekuningan berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 11.45g.

“Keseluruhan dadah dirampas adalah kira-kira 34.07 gram membabitkan nilai jualan berjumlah RM4,500,” ujarnya.

Jelas Sahar, lima daripada suspek termasuk wanita itu didapati positif dadah dan kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. - UTUSAN ONLINE