Difahamkan ketika ini, kira-kira 1,000 khemah mudah alih telah disediakan bagi kegunaan mangsa-mangsa banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mangsa banjir tersebut melibatkan 704 keluarga dekat 17 pusat pemindahan sementara di tiga bahagian iaitu Samarahan, Serian dan Mukah.

Katanya, tumpuan sekarang diberikan kepada banjir di Sarawak yang mungkin berlanjutan hingga Mac nanti.

“Kesemua logistik di sini adalah mencukupi termasuk lori, bot dan khemah mudah alih yang akan dihantar selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Apa yang penting semua 17 pusat pemindahan dikendali dengan baik, saya boleh bagi rating lima bintang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Mang di sini sebentar tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohd.Yusuf Wazir dan Ahli Parlimen Samarahan, Rubiah Wang.

Shahidan sempat beramah mesra dan meluangkan masa kira-kira sejam dengan 108 mangsa daripada 24 keluarga yang berada di pusat pemindahan berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat pemindahan kini bukan hanya dikendalikan JKM bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah dibantu agensi-agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain.

“Sekiranya kerajaan negeri memerlukan sebarang keperluan logistik, kita akan membuat pertimbangan secepat mungkin bagi kemudahan rakyat. Selain itu, kelengkapan pelajar dan sekolah yang terjejas juga akan diberikan peruntukan segera.

“Saya juga berbangga melihat keadaan di sini yang mana Douglas merangkap Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersama Pejabat Daerah, Ahli Parlimen sendiri hadir bagi memastikan kelancaran dan semua kemudahan mencukupi,” ujarnya.