Pengarahnya, Mohd. Hatta Zakaria berkata, pemeriksaan tersebut dilaksanakan bagi memastikan tahap-tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dipatuhi dan ditangani oleh pihak pengurusan pembinaan.

Katanya, jika pihak pengurusan pembinaan gagal berbuat demikian, mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Keselamatan Kesihatan dan Pekerjaan (AKKP) 1994 dan Akta Kilang dan Jentera (AKJ) 1967.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15 AKKP iaitu tanggungjawab majikan untuk menyediakan tempat kerja yang selamat kepada pekerja, majikan boleh dikenakan penalti sehingga RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

“Para kontraktor di negeri ini perlu menitikberatkan aspek ke-selamatan dan kesihatan pekerja di tapak pembinaan kendalian masing-masing,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tapak pembinaan merupakan satu tempat kerja yang dinamik dan risikonya sentiasa berubah.

“Ketika ini banyak kes kemalangan berlaku di tapak pembinaan di seluruh negara terutamanya melibatkan keruntuhan bangunan akibat kegagalan struktur sementara.

“Ia bolehlah diibaratkan seperti ‘bom jangka’ yang hanya menanti masa untuk menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda jika tidak dikendalikan dengan selamat,” jelasnya.

Operasi sama turut membabitkan operator kren di seluruh negeri iaitu melibatkan pengendalian kren menara, kren bergerak dan kren derik untuk mengelak kemalangan dengan jentera-jentera di tapak pembinaan.

Setakat ini, seramai 90 orang pengendali kren menara telah berdaftar iaitu 11 orang di Kuching, Sibu (8), Bintulu (30) dan Miri (41).

Diikuti pengendali kren bergerak berjumlah 956 orang iaitu 262 orang di Kuching, Sibu (164), Bintulu (320) dan Miri (210).