Mereka dipecahkan kepada empat kategori iaitu bawah lapan, 10, 12 dan 15 tahun yang terpilih.

Kem bola sepak anjuran iM Sarawak dan Real Madrid Foundation dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Kuching.

Peserta bagi kategori bawah lapan dan bawah 10 tahun di­pilih oleh Persatuan Bola Sepak Ku­ching daripada pelbagai kelab dan persatuan bola sepak.

Bagi pemain bawah 12 tahun pula dipilih oleh Jabatan Pendi­dikan Negeri dari sekolah di seluruh Sarawak.

Pemain bawah 15 tahun pula terpilih daripada empat pasukan terbaik pertandingan bola sepak peringkat akhir Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak yang mana iM Sarawak menjadi penaja sukan bola jaring dan bola sepak.

Ini bukan kali pertama usahasama iM Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri bersama Real Madrid Foundation.

Sebelum ini, iM Sarawak-Real Madrid Foundation Campus Experience telah diadakan pada 1 hingga 5 Disember dan 8 hingga 12 Disember tahun lalu.

Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC), Datuk Joseph Salang Gandum, kem bola sepak tersebut menggunakan sukan sebagai wadah untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan peserta­nya menjadikan kem ini bersesuaian dengan falsafah iM Sarawak.

“Kami juga bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Kuching dalam menjayakan Campus Experience ini.

“iM Sarawak adalah inisiatif pembangunan sosial yang bertujuan membawa manfaat jangka panjang yang mampan kepada rakyat melalui peningkatan kualiti kehidupan, pendidikan dan sukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada penutupan kem bola sepak itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kalamanathan berkata, beliau mengalu-alukan iM Sarawak yang bergiat aktif dengan inisiatif berfokuskan pendidikan.

“Inisiatif itu termasuk sumbangan komputer peribadi dan set televisyen kepada beberapa prasekolah terpilih di Sarawak, menaik taraf perpustakaan lebih 100 sekolah di negeri ini dengan sumbangan buku dan bermacam-macam lagi.

“Kem ini membuktikan bahawa pendidikan tidak hanya berlaku di dalam bilik darjah,” jelasnya.

Tambahnya, beliau berharap atlet muda dalam kem itu sedar akan perkara yang dikongsikan dalam kem dan terus belajar daripada pengalaman hidup mereka.

Sementara itu, Duta Sepanyol ke Malaysia, Carlos Domingues mengucapkan tahniah kepada iM Sarawak dan Real Madrid Foundation atas kejayaan Campus Experience.

Katanya, Real Madrid dan Real Madrid Foundation merupakan duta-duta yang terbaik dalam menonjolkan kelebihan yang ada pada Sepanyol.

Beliau juga berharap, agar kolaborasi antara institusi Malaysia dan Sepanyol akan terus berkembang terutamanya dalam bidang pendidikan serta bahasa Sepanyol seperti yang ingin diperkenalkan di negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, perkembangan positif golongan muda hari ini merupakan tunggak pembangunan Sarawak.

“Saya berbangga dengan penglibatan Real Madrid Foundation yang mana kem ini memberikan pengalaman lima hari yang penuh bermakna kepada para pemain bola sepak muda kita.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada iM Sarawak atas kerjasama ini yang memberikan manfaat kepada anak Sarawak,” ujarnya.