Menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Badrul Shah Norman, tangkapan dan kes tersebut dibuat daripada 38 kertas siasatan yang dibuka.

“Selain tumpuan operasi, usaha berkaitan pencegahan juga dilakukan dengan enam program bersama pemimpin komuniti Cina berpengaruh, syarikat swasta utama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik dan komuniti luar bandar telah dijalankan.

“Sebanyak 98 ceramah pencegahan rasuah juga diberikan kepada jabatan kerajaan dan swasta serta pelbagai lapisan masyarakat dalam tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kompleks Pejabat SPRM Sarawak oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaffar di sini hari ini.

Tambahnya, rasuah juga perlu dibanteras dengan menambah baik prosedur atau sistem kerja di jabatan kerajaan dan swasta.

“Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM negeri juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas lima isu dan hasilnya memberikan khidmat nasihat enam langkah-langkah penambahbaikan prosedur itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Badrul memberitahu, bagi tempoh 2012 hingga tahun lalu, pihaknya menerima 2,657 maklumat yang mana 1,315 telah diambil tindakan siasatan dan bakinya tidak berkaitan kesalahan rasuah.

“Sejumlah 319 kertas siasatan dibuka yang membawa kepada 281 tangkapan iaitu 84 orang melibatkan penjawat awam dan 197 orang awam atau swasta.

“Daripada jumlah tangkapan berkenaan,sebanyak 102 orang dituduh di mahkamah manakala 64 orang disyorkan untuk tindakan tatatertib,” ujarnya.