Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, rakyat perlu bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan tanah air sekali gus membuktikan kesyukuran terhadap nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi sejak lebih enam dekad lalu.

"Kita harus ingat bahawa tidak cukup hanya sekadar menggantung bendera atau berhimpun di sana sini, tanpa roh dan rasa penghayatan tentang peri penting pengisian sewajarnya kepada kebebasan sebuah negara yang telah berjaya diperolehi.

"Justeru, kurniaan kemerdekaan merupakan satu rahmat dan karomah kepada negara ini. Malah, Dasar Transformasi Negara yang merupakan buah fikir Perdana Menteri kita telah memasuki tahun ketujuh pelaksanaannya dan terus membuahkan hasil memberangsangkan sekali gus mencerminkan kekuatan kepemimpinan yang akan berterusan memacu negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Penutup Pertandingan Pidato Negaraku Peringkat Kebangsaan 2017 di Politeknik Port Dickson di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza serta Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Dalam majlis yang sama, Jailani turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka Negaraku 2017 (KMN17) yang akan memulakan siri jelajah ke sepuluh buah negeri di Semenanjung.

KMN17 yang melibatkan sebanyak 18 pacuan empat roda serta 30 motosikal berkuasa tinggi dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.

Utusan Malaysia merupakan satu-satunya wakil media yang menyertai konvoi berkenaan selama 16 hari, bermula hari ini sehingga 28 Ogos nanti. UTUSAN ONLINE