Penghadang besi itu dipercayai dibuka oleh kumpulan yang membantah penutupan sambungan haram itu berdasarkan kepada kata-kata mencemuh dan memaki yang tertulis pada kad-kad manila yang digantung berhampiran sambungan haram itu.

Turut tertulis ialah desakan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungip meletak jawatan selain mengatakan golongan majoriti tidak menyokong penutupan jalan yang menghubungkan Hulu Klang dengan Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu.

Dipercayai desakan itu dibuat kerana Saari menyokong dan mengusahakan agar sambungan haram berkenaan ditutup selepas beberapa sesi dialog diadakan dengan penduduk, MPAJ dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mengulas mengenai pembukaan semula sambungan haram itu serta kata-kata cacian itu, Saari berkata beliau tidak ambil pusing dengan perbuatan itu kerana tindakannya semata-mata untuk menegakkan hak golongan tertindas.

"Saya hanya memperjuangkan perkara yang hak.

"Ini bukan soal majoriti atau minoriti... ini soal hak. Jika perkara itu salah ia tetap salah.

"Saya tidak kisah jika tindakan saya ini tidak popular dan menyebabkan saya hanya menjadi wakil rakyat selama sepenggal sahaja kerana isu ini," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, penutupan jalan itu dibuat mengikut prosedur dan undang-undang selain dialog juga telah diadakan dengan penduduk dan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

"Daripada dokumen-dokumen yang ada memang menunjukkan bahawa tiada sambungan dari Jalan AU4/1 ke Wangsa Maju. Dan selepas MPAJ melakukan siasatan dan dialog dengan penduduk, maka keputusan telah diambil untuk menutup sambungan haram itu," jelasnya, menambah bahawa perkara berkenaan juga telah dirujuk kepada Pengerusi Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Pihak Berkuasa Tempatan negeri, Ronnie Liu.

"Penutupan sambungan haram itu juga mendapat sokongan DBKL. Menurut DBKL, jika mahukan jalan baru segera disiapkan, maka sambungan haram itu perlu ditutup supaya ada desakan untuk menyegerakan pembinaannya," katanya lagi.

Mengenai tindakan membuka semula sambungan haram itu, Saari berkata beliau telah menghubungi ahli majlis dan menyerahkan kepada MPAJ untuk mengambil langkah selanjutnya.

Jelasnya, beliau berasa bangga dengan tindakan MPAJ menutup jalan berkenaan kerana telah menjalankan tugas mereka secara profesional.

Menyambungkan

Sambungan haram itu mula ditutup pada 15 Disember lalu setelah kira-kira 13 tahun ia menyambungkan Lembah Keramat di sini dengan Seksyen di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Sementara itu, MPAJ telah membuat laporan polis mengenai pembukaan semula sambungan haram itu.

Timbalan Yang DiPertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, pihaknya juga boleh mengambil tindakan ke atas individu yang membuka penghadang besi itu kerana merosakkan harta awam.

"Tindakan selanjutnya kami serahkan kepada pihak polis," tegas beliau apabila dihubungi semalam.

Mengenai tindakan lanjut MPAJ, katanya, pihaknya akan membincangkan hal itu dalam mesyuarat jawatankuasa infrastruktur dan kemudahan awam bagi mengenal pasti langkah-langkah yang akan diambil.

"Tindakan menutup semula tidak akan diambil dalam masa terdekat ini kerana kami yakin ia akan dibuka semula. Jadi kita tunggu sahaja keputusan mesyuarat pada pertengahan bulan ini," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, jalan baru yang akan menghubungkan Jalan 6/27A di Wangsa Maju dengan AU3, Hulu Klang sedang giat dibina.

Setakat ini, kerja-kerja membersih hutan dan meratakan tanah dilihat telah selesai.

Pengarah Kejuruteraan Awam DBKL, Ir. Siti Saffur Mansor menjangkakan jalan sepanjang kira-kira 1.3 kilometer itu akan siap mengikut jadual iaitu pada Ogos 2009.

"Pemantauan kami menyaksikan kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik agak cepat juga," katanya apabila ditemui baru-baru ini.