Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, meskipun kerajaan negeri telah menggerakkan segenap jentera untuk memantau mereka yang terlibat, namun dikhuatiri ada yang terlepas pandang.

Sehubungan itu, Zambry men­jelaskan, sebagai individu yang sering bergandingan de­ngan pelajar selain ibu bapa, guru diharap dapat memainkan pera­nan berkenaan bagi membantu golongan terbabit.

“Kita tidak mahu dengar lagi kisah anak-anak tidak boleh belajar, tidak boleh ke sekolah, tidak boleh masuk universiti kerana tiada duit seperti zaman dulu-dulu.

“Tolong sampaikan kepada saya. Mungkin saya tidak tahu. Jangan biarkan kisah-kisah se­perti ini bertebaran di bumi Pe­rak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perjum­paan bersama warga pendi­dik di daerah ini sempena program Pemukiman Menteri Besar Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setia­usaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Seri Ghazali Jalal dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria.

Terdahulu, Zambry mengumumkan pemberian insentif berjumlah RM183,000 kepada 61 sekolah di Bagan Datuk dan dana tambahan RM17,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk kegunaan kelab-kelab guru.

Beliau menambah, pelajar daripada golongan kurang berkemampuan tidak seharusnya dipandang rendah dan diabaikan kerana mereka berupaya me­ngubah hidup masing-masing jika dibantu dengan cara yang betul.

“Jangan kita abaikan anak-anak yang mempunyai potensi ini. Jangan kita ingat anak nelayan, anak petani tidak ada apa-apa kerana esok mungkin dia akan membesar menjadi pe­mimpin ulung,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry memberitahu, peranan guru masih lagi relevan untuk mendidik pelajar pada zaman digital masa kini.

Katanya, ini berikutan guru masih berperanan untuk membantu pelajar dalam membezakan sesuatu perkara yang betul mahupun salah.

“Dalam era digital, kadang kala orang akan bertanya apa peranan guru kerana maklumat bukan lagi berada dalam bilik darjah tetapi bergantung kepada telefon pintar.

“Namun, saya yakin peranan cikgu (guru) tetap relevan kerana tanpa mereka, siapa yang akan membetulkan anak-anak kita tentang sesuatu maklumat yang terdapat di zaman era digital ini,” ujarnya.