Sumbangan dan peranan SAKJ tidak dapat dinafikan selain amat terkehadapan serta moden berbanding negeri lain.

Malah kewujudannya menjadi identiti pendidi­kan kepada Johor dalam memberi pelajaran agama kepada kanak-kanak Islam seawal tujuh tahun.

SAKJ merupakan platform mendapat didikan agama yang teratur, sempurna dan dikawal kerajaan negeri yang berpegang kukuh kepada ajaran serta intelek Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Ketika ini SAKJ begitu diterima dan mendapat kepercayaan penuh masyarakat Islam Johor sebagai satu keperluan walau pun pada masa sama anak-anak mereka mendapat pendidikan agama menerusi matapelajaran pendidikan Islam di sekolah rendah atau menengah.

Malah sudah menjadi kewajiban untuk orang Johor atau mereka yang tinggal di negeri ini menghantar anak-anak ke SAKJ yang mempunyai tarikan tersendiri, mendapat penghormatan tinggi serta bukan asing lagi dalam sistem pendidikan Johor.

Pada 13 September ini akan diadakan sambutan 100 tahun usia SAKJ sekali gus Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.

Ini kerana SAKJ merupakan ins­titusi pendidikan Islam atau sistem pendidikan terawal yang merentas masa bukan sahaja di Johor malah negara ini.

Antara fungsi utama SAKJ adalah memastikan huruf dan tulisan jawi terus diwarisi generasi baharu supaya tidak dipinggirkan dalam dekad globalisasi. Ini adalah fungsi SAKJ yang tidak dapat disanggah dan perlu diberikan sokongan tidak berbelah-bahagi.

Tugas SAKJ memelihara dan menjadikan tulisan jawi 'mengikat' umat Islam selain warisan ketamadunan yang wajib dipertahankan. Fungsi SAKJ bukan sekadar memberi didikan agama tetapi membentuk menjadi masyarakat Islam yang sederhana dan bertoleransi.

SAKJ yang ditadbir terus oleh kerajaan negeri melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor bukan sahaja menjadi pelengkap untuk pelajaran di sekolah aliran konvensional tetapi satu instrumen pendidikan Islamik yang penting kepada rakyat Johor sehingga kini.

Mungkin tidak ramai menye­dari SAKJ sudah beroperasi 100 tahun. Sekolah aliran agama itu diwujudkan atas perintah Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar satu ketika dahulu untuk memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak Islam di negeri ini.

Sejarah SAKJ bermula pada tahun 1918 sebagai Sekolah Al-Quran, kemudian pada 1920 namanya ditukar kepada Sekolah Kitab. Seterusnya pada 1923 pendidikan dikembangkan lagi de­ngan mewujudkan kelas Darjah Khas sebagai satu-satunya lanjutan Sekolah Agama Petang.

Kemudian pengembangan pro­ses pendidikan SAKJ diteruskan de­­ngan penubuhan Maahad Johor pada 1960 diikuti tertubuh­nya sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor Kluang (SMAKJ) pada tahun 1988.

Lantas tercetuslah idea penubuhan Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) pada 1997; penubuhan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) dan penubuhan Tadika Agama Johor (TAJ) pada 2001.

Sehingga hujung tahun lalu terdapat 578 sekolah agama di seluruh negeri dan akan bertambah 600 buah dalam masa dua tahun ini menerusi pembinaan yang baharu. Terdapat 180,914 pelajar dengan 3,816 guru agama yang diharap dapat menyeimbangkan tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Melihat evolusinya, SAKJ sudah begitu mantap dan berada jauh di hadapan. Bukan sekadar satu-satunya pendidikan agama yang mempunyai asas dan bersistem berbanding negeri lain tetapi melakukan perubahan dan pengisian bersesuaian dengan abad ke-21.

Pelan Transformasi Sekolah Agama Negeri Johor diperkenal dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mencakupi semua aspek yang memfokuskan kebajikan guru, pembangunan sekolah, prasarana, murid, kurikulum dan kokurikulum dalam usaha penambahbaikannya.

Pelan tersebut turut memberikan penekanan terhadap penggunaan teknologi digital bagi menjadikan pengalaman pembe­lajaran menarik dan berkesan. Usaha ber­kenaan sekali gus menjadikan sistem pendidikan agama yang berusia 100 tahun ini kekal rele­van.

Bukan itu sahaja, sebelum ini dikaji untuk memperkenalkan pro­­gram pengekodan dan mata pelajaran sejarah Johor menjadi sebahagian daripada kurikukulum sekolah agama di negeri ini kerana subjek itu tidak ada di sekolah kebangsaan.

Sistem pembelajaran dan pe­ngajaran digital di empat sekolah agama bermula tahun lalu dengan kos RM14 juta juga diperkenalkan agar SAKJ tidak ketinggalan dalam dunia pendidikan siber. Langkah itu satu eksperimen sebelum meluaskan transformasi tersebut ke sekolah agama lain.