Keprihatinan YAM mewujudkan Dapur Rakyat itu bagi memudahkan urusan pengendalian makanan kepada mangsa serta sukarelawan yang hadir dan mengedarnya ke pusat penempatan sementara di Pentas Terbuka Karakit Pulau Banggi.


Ketua Operasi Bantuan YAM Hamran Jawan berkata kos operasi adalah ditanggung sepenuhnya oleh yayasan itu hasil sumbangan orang ramai.


Katanya Dapur Rakyat itu dibuka pada hari kedua selepas kebakaran berlaku dan beroperasi selama tujuh hari, mengikut keperluan semasa.


"Seramai enam sukarelawan terlibat dalam urusan pengendalian Dapur Rakyat ini. Kami berusaha menyediakan makan tengah hari dan makan malam untuk 200 orang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Pada Ahad lepas, sebanyak 81 rumah dan dua kuarters guru di Kampung Karakit musnah terbakar menyebabkan 313 orang membabitkan 77 keluarga hilang tempat tinggal.


Menurutnya yayasan itu tampil dan turun ke lokasi kejadian bagi menghulur bantuan kepada mangsa yang kebanyakan mereka kini sedang ditempatkan di pusat penempatan sementara. 


"Kami hadir membawa barang-barang keperluan seperti berus gigi, ubat gigi, lampin pakai buang dan tuala wanita dan diedar kepada mangsa yang terlibat.


"Sebenarnya ia tidak mencukupi, tapi kami berharap ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa," katanya.


Hamran berkata YAM bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam menyediakan dan mengangkut barang keperluan dari Kudat ke Pulau Banggi untuk kegunaan mangsa.


Beliau berkata sebarang pertanyaan berkaitan sumbangan bolehlah menghubunginya di talian 011-18950355.- BERNAMA