Video oleh Rodelio Junjun Taucan

Pengerusinya, Ceasar Mandela Malakun bersama pemuda-pemuda parti itu menghulurkan bantuan tersebut di beberapa rumah di Kampung Kolopis, Penampang Proper, Kibabaig, Kambazan dan Dungkahang yang dinaiki air sejak semalam akibat hujan lebat yang berterusan.

Meskipun terpaksa melalui jalan yang ditenggelami air sehingga sedalam satu meter, Mandela dan kumpulannya berjaya mengunjungi lebih 10 buah rumah bermula pukul 4 hingga 6 petang ini.

“Kami menyampaikan bantuan peralatan pembersihan di setiap rumah yang dikunjungi yang diharap dapat mengurangkan sedikit kesusahan mangsa.

“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, perkara paling penting adalah saya mendengar sendiri keluhan mereka dan selepas ini saya akan membawa perkara ini di pihak kerajaan supaya masalah mereka dapat diselesaikan pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hujan lebat yang sering berlaku sejak awal bulan ini menyebabkan beberapa kawasan di Penampang dinaiki air disebabkan kedudukan muka bumi yang rendah serta paras air Sungai Moyog yang meningkat serta melimpah.

Mandela berkata, bencana banjir memang sukar diatasi, justeru peranannya di dalam biro tersebut adalah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan parti untuk membantu rakyat yang terjejas agar beban mereka dapat diringankan.

Sementara itu, ketika menyampaikan bantuan, kumpulan berkenaan turut menghadapi cabaran apabila salah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan terbabas ke dalam parit disebabkan keadaan jalan yang licin, namun tiada sebarang kecederaan berlaku dan misi tersebut berjaya diteruskan.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa yang ditemui, Francis Tamin, 41, berkata, rumahnya sering dinaiki air sehingga paras 0.6 meter setiap kali hujan lebat kerana berada di kawasan rendah.

“Saya harap selepas ini lebih banyak bantuan diberikan oleh pemimpin dan paling bagus jika masalah ini dapat diselesaikan,” katanya. - UTUSAN ONLINE