Beliau yang tiba di KKIA pada pukul 8.15 malam menerima sejambak bunga mawar dan dipakaikan bendera Malaysia oleh ahli keluarganya sambil diiringi paluan kompang serta nyanyian lagu sekolah oleh kira-kira 30 anak muridnya yang datang dari Keningau untuk meraikan guru mereka.

Turut berada di KKIA menyambut ketibaannya ialah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad; Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul; bapa dan ibunya, Idek Asal, 66, serta Bintek Abd. Rahman, 66; pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan rakan-rakannya.

Mohd. Sirhajwan disambut wira

MAHDZIR KHALID (dua dari kanan) menyambut ketibaan Mohd. Sirhajwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu malam ini. - UTUSAN ONLINE/Irwan Majid

Kelmarin, anak kelahiran Kota Belud itu mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Komuniti untuk Kewarganegaraan oleh sebuah pertubuhan antarabangsa, Global Educational Supplies and Solutions (GESS) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu atas sumbangan beliau kepada komuniti pendidikan.

Kejayaan ini merupakan yang keempat diraih pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu dan tahun lalu beliau muncul sebagai juara dunia bagi Anugerah Inovasi serta Keusahawanan Cemerlang Antarabangsa Dalam Pengajaran di Paris, Perancis.

Sementara itu, ketika ditemui, Mohd. Sirhajwan berkata, walaupun tidak menjangka untuk dinobatkan pemenang, beliau tetap bersyukur dengan kejayaan itu dan menjadikannya sebagai dorongan untuk terus berkembang maju dalam bidang pendidikan.

“Saya amat terkejut, gembira dan bersyukur dengan kejayaan ini yang akan menjadi pendorong untuk saya terus berjaya dalam bidang pendidikan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya juga berharap anugerah ini memberi dorongan kepada rakan seperjuangan untuk sama-sama mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE