Tawaran harga diskaun sepanjang tahun itu diperkenalkan sempena Program Jimat Belanja Dapur Pasar Tani FAMA Sabah yang dilancarkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin di Pasar Tani Asia City di sini.

Beliau berkata, orang ramai perlu memanfaatkan peluang untuk berbelanja di semua pasar tani yang dibuka dua kali seminggu bagi menikmati penjimatan itu yang dapat mengurangkan kos sara hidup harian.

“Peniaga menawarkan harga murah dan berpatutan kepada orang ramai kerana mereka tidak menggunakan orang tengah untuk mendapatkan bekalan, semuanya yang dijual diperolehi terus dari ladang.

“Ia juga dapat menjadi ruang pilihan yang lebih baik kepada pengguna untuk berbelanja selain pasar raya dan kedai runcit untuk membeli barangan seperti ayam segar,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Katanya, diskaun berkenaan meliputi sayur-sayuran, buah-buahan, ayam segar dan ikan selain barangan runcit dan kawalan seperti minyak masak serta tepung.

Menurut Yahya, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha FAMA melaksanakan program penjimatan itu yang bertujuan membantu masyarakat dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Sementara itu jelasnya, di Sabah, nilai jualan pasar tani pada tahun lalu mencatatkan jumlah RM24.78 juta dan terdapat kira-kira 45 buah pasar tani di negeri ini dengan bilangan peserta sebanyak 1,300 orang.

Dalam pada itu, Yahya menyarankan agar semua agensi kerajaan di bawah kementeriannya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil inisiatif sama seperti yang dilaksanakan FAMA bagi membantu para pengguna.
 UTUSAN ONLINE