Menurut kenyataan SESB, rumah itu mula dibina sejak Oktober tahun lalu selepas TNB dan SESB melihat keluarga berkenaan layak menerima tajaan memandangkan rumah lama mereka sebelum itu usang dan memerlukan kediaman lebih selamat dan selesa didiami.

Rumah baharu itu diserahkan kepada Rimondst A. Carolus, 49, selaku ketua keluarga dalam majlis penyerahan kunci disempurnakan Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Norhizami Abu Hassan yang mewakili Pemangku Pengarah Urusan SESB Abdul Nasser Abdul Wahid di Kota Belud hari ini.


Rimondst ketika ditemui melahirkan penghargaan serta mengucapkan terima kasih atas keprihatinan TNB dan SESB kerana memilih mereka sebagai antara penerima bantuan baik pulih rumah menerusi Projek Mesra Rakyat itu seterusnya memberi sinar baharu kepada kehidupan mereka sekeluarga.


Beliau yang menghidap penyakit buah pinggang juga berkata perasaan gembira jelas terpancar di wajah anak-anaknya kerana sudah tidak sabar menjalankan aktiviti seharian mereka di rumah baharu itu.


Sementara itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat utiliti tersebut memberi fokus kepada golongan kurang berkemampuan selain ia juga selaras dengan Dasar Sumbangan dan Tajaan TNB yang sentiasa mendokong aspirasi kerajaan dalam membantu golongan daif dan memerlukan.


Di Sabah, TNB dan SESB menyelaras program berkenaan di empat daerah terpilih iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Tenom dan Sapulut di Pensiangan dengan nilai keseluruhan projek sebanyak RM200,000.


Sebahagian besar keuntungan operasi diperolehi akan dikembalikan semula kepada rakyat dan negara menerusi perlaksanaan program dan aktiviti CSR seperti Projek Mesra Rakyat selain menaik taraf dan menambah baik infrastruktur pembekalan elektrik di seluruh negara.


"Setiap tahun TNB membelanjakan lebih RM50 juta bagi melaksanakan inisiatif CSR di seluruh negara," kata kenyataan itu.


TNB dan SESB juga akan terus komited memberi tumpuan kepada penyediaan bekalan elektrik berkualiti tinggi dan memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan. - BERNAMA