Tinjauan Utusan Malaysia men­­dapati kebanyakan penerima menganggap pemberian gajet secara percuma itu merupakan satu penghargaan kepada mereka terutama yang bertugas di kawasan pedalaman.

Pegawai Pengurusan Sekolah Menengah Pejabat Pendidikan Da­erah Sandakan, Mohamad Ali berkata, tablet berkenaan dapat mempelbagaikan lagi teknik mengajar setiap guru dan tidak terikat kepada bahan sedia ada.

“Kegunaan tablet pada masa kini amat penting kepada tenaga pengajar, terutamanya apabila aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia disarankan. Jika, dilihat secara global ia adalah salah satu panduan dan bantuan kepada mereka untuk memudahkan sistem pembelajaran.

“Saya sendiri bersemangat apabila diberitahu akan mendapat tablet percuma dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan agar dapat memberi semangat dan motivasi kepada guru untuk memberi yang terbaik pada pelajar,” katanya ketika ditemui semasa agihan tablet itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merpati, di sini hari ini.

Pengetua Sekolah Kebangsaan (SK) St. Mary Labuk, Bauni Gun­tabid berkata, pemberian tablet berkenaan adalah amat baik kerana daapt membantu perkemba­ngan sistem pendidikan negara ke arah lebih maju selaras dengan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Selepas menerima dan mendengar taklimat tentang penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia, saya dapati tujuannya adalah untuk menganjak sistem pendidikan negara ke arah lebih maju.

“Dalam TN50 ada banyak aspirasi daripada semua pihak untuk membangunkan sistem pendidik, justeru saya melihat langkah ini adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Bermula Isnin lalu, sebanyak 41,630 Tablet Guru mula diagihkan oleh syarikat akhbar itu di seluruh negeri hasil kerjasama de­ngan Kementerian Pelajaran.

Pemberian gajet berkenaan merupakan antara langkah Kumpulan Utusan membantu kerajaan meningkatkan sistem pendidikan negara selaras dengan Pembelajaran Abad Ke-12 (PAK-21).

Hari ini, kira-kira 7,000 guru lagi menerimanya di beberapa daerah iaitu Beaufort, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Sandakan dan Tawau.

Seorang guru, Hasiah Arjani, 51, berkata, sebelum ini, dia pernah menggunakan Tutor sebagai bahan bantu mengajar, maka dengan adanya gajet yang lengkah dengan aplikasi Tutor Guru, teknik mengajar akan menjadi lebih mudah.

“Soalan-soalan yang disediakan di dalam Tutor Guru amat bagus serta dipelbagaikan. Saya harap soalan-soalan melibatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dapat melatih lagi kemahiran para pelajar,” katanya.