Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Kismaru Rismaru, 18, Butlayan Tabiyanan serta Abdul Gahni Awan, kedua-duanya 19 tahun dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Beliau turut memerintahkan mereka dipenjarakan setahun lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Awang Krishnada berkata, hukuman itu bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai pentingnya memulihara spesis penyu terbabit yang semakin terancam akibat pemburuan haram.

Beliau berkata pengakuan tertuduh tidak mengetahui membunuh penyu itu salah adalah tidak munasabah kerana telah banyak kes seumpama itu telah didakwa.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa memiliki 12 keping sisik marginal penyu, enam keping plastron, dan satu bahagian kemaluan spesis penyu hijau (Chelonia Mydas), di perairan Pulau Ligitan Semporna, pada 4.26 pagi, pada 6 Februari.

Penyu hijau adalah haiwan yang dilindungi yang disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual 1, Nombor 8, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) enakmen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Silvester Saimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA