Pemeriksaan itu dilaksanakan KPDNHEP secara serentak di seluruh negara sejak Khamis lepas berikutan adanya aduan ibu bapa dan penjaga mengenai kenaikan harga makanan dan minuman di kantin sekolah.


Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata pegawai penguatkuasa kementerian itu di lapan cawangan di negeri ini telah melakukan pemeriksaan di 98 kantin sekolah menengah dan rendah.


Katanya kesemua kantin yang diperiksa mengenakan harga makanan dan minuman mengikut garis panduan harga yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.


Dari segi mempamer tanda harga makanan dan minuman, hanya sebuah kantin sekolah di Kudat dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM100 kepada pengusaha di bawah Peraturan 3(1) Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan di kantin Sekolah Menengah Maktab Sabah di sini, hari ini.


Georgie berkata KPDNHEP Sabah tidak pernah menerima aduan mengenai kenaikan harga makanan dan minuman di sekolah.


Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Umin Sadi berkata setiap pengusaha kantin sekolah perlu mematuhi harga makanan dan minuman berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.


Katanya jika ada pengusaha menaikkan harga makanan dan minuman dari harga lama harus mengikut harga siling yang ditetapkan kementerian. - BERNAMA