Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assaffal P Alian berkata usaha mewartakan teluk berkeluasan lebih 100,000 hektar itu kini dijalankan dengan kaedah mengumpul data marin menerusi ekspedisi saintifik diketuai Taman-Taman Sabah.

"Ketika ini lebih 21 penyelidik dari pelbagai agensi seperti Taman-Taman Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) terlibat dalam ekspedisi saintifik untuk mengumpul data.

"Penyelidik yang terlibat ini mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk biologi marin dan penggunaan teknologi terkini untuk pemetaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan ekspedisi saintifik Teluk Darvel 2019 di Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam dekat sini, hari ini.

Assaffal dalam pada itu mahu Taman-Taman Sabah meletakkan tiga garis panduan ke arah pewartaan Teluk Darvel yang meliputi tempoh masa (timeline), petunjuk prestasi utama (kpi) serta keputusan (result).

"Saya akan cadang dalam mesyuarat kabinet (negeri) supaya Taman Taman Sabah menyelia Teluk Darvel ini dan kawasan ini seperti sebuah taman yang boleh diangkat sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Assaffal juga mahu pihak berkepentingan termasuk pemain industri pelancongan agar bersama membangunkan dan memulihara Teluk Darvel.

"Meskipun kita mewartakan Teluk Darvel ini tetapi kira-kira 50 pulau di bawahnya masih di bawah Jabatan Perhutanan Sabah dan dapatan dari data marin akan digunakan untuk zoning misalnya kawasan yang sesuai dijadikan industri perikanan akan dijadikan sebagai zon industri perikanan," katanya dan menambah bahawa langkah itu sebagai menjaga ekologi sistem Teluk Darvel.

Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Jamili Nais berkata pihaknya bersedia menyahut cabaran Kerajaan Negeri ke arah pewartaan Teluk Darvel berpandukan niat rehabilitasi, pelancongan, penyelidikan dan pemuliharaan dengan titik permulaan menerusi ekspedisi saintifik.

Menurutnya, Taman-Taman Sabah bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah melakukan ekspedisi saintifik ke Teluk Darvel pada tahun 1989 dengan niat kerajaan ketika itu untuk diwartakan.

Namun, dapatan kajian pada masa itu mendapati teluk itu berdepan dengan masalah terumbu karang yang banyak rosak sekali gus menjadikan kawasan itu bukan keutamaan untuk diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin.

"Genap 30 tahun kita belajar dari tempat lain di dunia, kita tidak lagi meneliti keutamaan kepada kawasan (marin) yang belum rosak sebaliknya kawasan yang berpotensi dilindungi dan dipulihara, misalnya Taman Tun Mustapha," katanya.

Pada tahun 1977 kajian dilakukan WWF Malaysia ke atas Taman Tun Mustapha di Kudat satu masa dahulu mendapati banyak kerosakan marin di kawasan itu namun kemudian pada tahun 2014 taman itu diwartakan sebagai taman marin terbesar di Malaysia. - BERNAMA