Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, di negeri ini tidak pernah wujud isu perkauman kerana selama ini rakyat Sabah yang mempunyai kepelbagaian suku kaum menikmati kehidupan yang aman dan damai di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Orang luar yang datang ke Sabah pasti akan kagum dengan kepelbagaian suku kaum yang ada di negeri ini dan yang lebih membanggakan apabila rak­yatnya boleh hidup aman damai, malah boleh duduk semeja di kedai kopi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Batu Sapi di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, Lupak Meluas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin; Pengerusi BN Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya; Ketua Wanita UMNO Batu Sapi, Rahimah Asrah; Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi, Khairul Firdaus Akhbar Khan dan Ketua Puteri UMNO Batu Sapi, Hazulizah Md. Dani.

Musa yang juga Pengerusi Penyelaras BN Sabah berkata, rakyat di negeri ini juga mengamalkan budaya saling hormat menghormati dan menjalani kehidupan harian dengan semangat kekitaan sebagai keluarga yang besar.

Berikutan itu, beliau mahu rakyat di Batu Sapi menolak sepenuhnya parti pembangkang yang hanya tahu memecah-belahkan rakyat dengan isu yang tidak re­levan langsung.

Dalam pada itu Musa sekali lagi mengingatkan ahli BN agar sentiasa ikhlas dan jujur terhadap parti, perjuangan dan juga barisan kepimpinan.

“PRU-14 bukanlah sesuatu yang asing bagi BN. Kita sudah menghadapi pilihan raya sejak sekian lama dan melalui doko­ngan dan sokongan padu semua rakyat dan ahli, parti pasti memperoleh kemenangan cemerlang.

“Yang paling penting kita mestilah ikhlas. Kita mesti bekerjasama dan apabila kita sokong dan mengundi nanti, kita undi BN, sekali gus memenangkan calon BN di Batu Sapi,” tegas beliau.

Jelasnya, Batu Sapi yang merupakan kubu kuat BN dari dulu hingga, perlu dipertahankan demi memastikan kelangsungan pembangunan yang diperlukan rakyat.

“Batu Sapi ini mesti kita pertahankan kerana ini adalah maruah BN. Oleh itu, jangan tertipu dan terpengaruh dengan individu yang mengaku sebagai pejuang yang hanya semata-mata mahu meraih sokongan rakyat,” katanya.