Pengerusinya Tan Sri Ibrahim Menudin berkata susulan itu, modal saham biasa syarikat dijangkakan meningkat daripada 288.18 juta saham kepada 349.67 juta saham.


"Jumlah sebenar saham bonus baharu akan berasaskan kepada jumlah saham Suria yang diterbitkan pada tarikh hak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung luar biasa syarikat itu di Wisma Sabah Ports, Teluk Sepanggar, di sini hari ini.


Beliau berkata terbitan saham bonus itu membolehkan pemegang saham Suria meningkatkan penyertaan dalam ekuiti syarikat dan pada masa yang sama mengekalkan kepentingan ekuiti dalam syarikat.


Ini juga dijangka meningkatkan kecairan dagangan saham Suria dan menggunakan jumlah sedia ada untuk dikreditkan ke akaun premium sahamnya mengikut Seksyen 618 (3) Akta Syarikat 2016, berikutan perlaksanaan rejim nilai tiada tara.


"Lembaga pengarah memutuskan bahawa terbitan bonus merupakan kepentingan terbaik untuk syarikat dan pemegang saham, dan menyatakan penghargaannya kepada pemegang saham yang memihak kepada keputusan itu," kata Ibrahim.


Pada 12 Nov tahun lepas, keputusan sembilan bulan Suria Group yang belum diaudit menyaksikan syarikat itu mencatat hasil sebanyak RM315.0 juta, peningkatan sebanyak 45 peratus atau RM97 juta tahun ke tahun.


Ini merupakan keuntungan bersih sebanyak RM45 juta dalam tempoh itu, dan menambah. segmen pelabuhan, yang merupakan perniagaan terasnya, menyumbang dengan ketara kepada prestasi kukuh itu. - BERNAMA