Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, tanggungjawab tersebut dipikul kerajaan dengan sebaik mungkin kerana sedar hanya sistem pendidikan yang berkualiti mampu menjamin generasi yang berilmu dan berkemampuan.

“Hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu melaksanakan segala pembangunan, termasuklah bantuan pendidikan kepada rakyat untuk memastikan rak­yat menerima manfaat daripada kerajaan yang memerintah.

“Kerajaan Pusat melalui Bajet 2018 juga telah memperuntukkan RM1 bilion untuk baiki sekolah. Jadi, kenapa masih ada pihak yang mendakwa kita tidak membantu rakyat sedangkan segala-galanya kita laksanakan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia di sini hari ini.

Perasmian sekolah tersebut disempurnakan Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri lebih 2,000 masyarakat setempat.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, pembinaan sekolah tersebut hanyala salah satu daripada banyak lagi bantuan yang telah diserahkan kerajaan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang semakin menjadi-jadi ketika ini demi mendapatkan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tegas beliau, BN telah terbukti adalah kerajaan terbaik dalam membantu rakyat sehingga tiada mana-mana kerajaan lain di dunia yang mampu menyainginya.

Katanya, Perdana Menteri telah melakukan segala-galanya dan mempunyai perancangan terbaik demi masa depan negara, namun harapan yang baik itu akan hilang jika pembangkang memerintah.

“Buat apa kita gadai negara kepada orang yang tidak tentu sejarahnya sedangkan kita sudah ada pemimpin terbaik seperti Perdana Menteri sekarang yang kerap datang ke Sabah membantu kita.

“Teruskanlah sokong pe­mimpin kita kerana negara pasti akan aman makmur. Pembangkang mampu bagi apa selain hanya keluar masuk kampung berjanji palsu,” katanya.