Wong, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, menyifatkan keputusan itu sebagai langkah yang baik dan memanfaatkan rakyat di Sabah serta menunjukkan keprihatinan kerajaan baharu terhadap masalah yang dihadapi rakyat di negeri ini.

"Sejak lima tahun yang lepas, saya telah berkali-kali membangkitkan isu ketidakseragaman cukai jalan bagi kenderaan perdagangan ini di Parlimen.

"Pada masa itu, isu ini tidak dipandang berat...pengusaha lori di Sabah terpaksa membayar cukai jalan yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping itu, Wong berkata beliau akan merujuk dengan Kementerian Kerja Raya mengenai isu perbezaan had berat dengan muatan (BDM) kenderaan perdagangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berharap lebih banyak inisiatif dan dasar yang memanfaatkan rakyat Sabah diperkenalkan, agar tidak mengecewakan harapan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan baharu.

Semalam (27 Feb), Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan penyeragaman cukai jalan LKM bagi kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak, menggunakan kriteria Berat Tanpa Muatan (BTM) mulai 1 April. - BERNAMA