Stephen Wong Tien Fatt
Stephen Wong Tien Fatt 

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, seorang doktor pergigian di negeri ini perlu berkhidmat untuk kira-kira 12,800 orang, berbanding di Semenanjuang di mana nisbah doktor pergigian dan penduduk dianggarkan satu bagi setiap 6,000 penduduk.

"Harapan saya dalam dua atau tiga tahun akan datang ini, kita dapat merapatkan jurang nisbah doktor pergigian dan penduduk di Sabah dengan Semenanjung. Itu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) saya.

"Kerajaan negeri juga sedang bekerja rapat dengan kerajaan pusat, memastikan doktor pergigian dari Semenanjung dapat berkhidmat lebih lama di sini, kerana tidak ramai anak Sabah menceburi bidang kesihatan pergigian," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina DAP Sandakan di sini malam tadi.

Wong berkata kerajaan negeri sedang berusaha menggalakkan lebih ramai rakyat kelahiran Sabah menceburi bidang kesihatan pergigian bagi mengatasi masalah kekurangan doktor gigi di negeri ini.

Beliau turut mencadangkan tawaran biasiswa bagi penuntut kesihatan pergigian agar mereka boleh terus berkhidmat dengan kerajaan selepas tamat pengajian.- BERNAMA