Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, bantuan khas itu bertujuan untuk meringankan bebanan kewangan pelajar yang melanjutkan pengajian masing-masing.

Katanya, kerajaan negeri telah menerima sebanyak 6,818 permohonan dan daripada jumlah itu, hanya 5,263 pelajar berjaya memenuhi kriteria untuk mene­rima bantuan khas kewangan ber­kenaan meliputi 108 IPT di seluruh negara.

“Bagaimanapun sebanyak 4,184 anak-anak Sabah yang ketika ini sedang melanjutkan pe­ngajian di 18 buah IPT di negeri ini akan menerima bantuan secara one off sebanyak RM950 melibatkan sejumlah RM4 juta yang akan dimasukkan terus menerusi akaun masing-masing bermula esok.

“Baki peruntukan sebanyak RM1 juta lagi akan diagihkan kepada 1,079 pelajar lain yang kini sedang menuntut di 90 buah IPT di Semenanjung dan Sarawak,” katanya ketika berucap dalam majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewa­ngan Pelajar IPT Anak-Anak Sabah di sini hari ini.

Teks itu dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sukarti Wakiman dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Dalam pada itu, Musa berkata, kerajaan negeri memperuntukkan bajet yang besar untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang mampu memberi manfaat sehingga 1,500 pelajar setiap tahun.

“Menyedari pentingnya memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang berkualiti, ­kerajaan negeri terus komited untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang mampu memberi manfaat dalam bidang pendidikan.

“Selain itu, Yayasan Sabah dan Pusat Zakat Negeri Sabah turut menghulurkan dermasiswa, pinjaman pendidikan dan bantuan kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran ke IPT,” katanya.

Jelasnya, ia sebagai tanda keprihatinan dan impian kerajaan negeri untuk melihat anak-anak tempatan yang berilmu, berkemahiran tinggi serta menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini.