Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman berkata, tindakan itu bukan sahaja mendatangkan lebih banyak kesan buruk, malah turut memberi tekanan kepada pekerja kerana hilang punca pendapatan.

“Jika SESB tetap untuk memotong bekalan elektrik, sudah pasti operasi kedai di pusat beli-belah itu akan terhenti dan akhirnya banyak pihak akan hilang pekerjaan.

“Tindakan tersebut jelas memberi kesan buruk bukan sahaja kepada perkembangan ekonomi di negeri ini malah turut menjejaskan rakyat Sabah yang bekerja di pusat beli-belah itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung tindakan SESB yang mahu memotong bekalan elektrik di 1Borneo Rabu ini, berikutan kegagalan pihak pengurusannya membayar tunggakan hutang utiliti itu sejak tahun lalu sehingga mencecah RM9.3 juta.

Dalam pada itu, Azis meminta agar pihak pengurusan SESB untuk menangguhkan dahulu tindakan tersebut serta mengadakan perbincanagn dengan semua pihak termasuk di pihak kerajaan.

“Perkara ini perlukan perbincangan dengan semua pihak bagi mencapai kata putus yang saksama agar ia tidak menjejaskan rakyat Sabah yang bekerja di situ.

“Oleh itu, saya sudi menjadi orang tengah bagi kedua-dua pihak iaitu pihak pengurusan 1Borneo dan SESB untuk duduk bersama dan berbincang bagi menyelesaikan isu ini secara bersama,” katanya. - UTUSAN ONLINE