Pengurus Perhubungan Rakan Kongsi dan Pemegang Kepentingan Repsol, Farid Jaafar berkata, kesemua badan amal berkenaan yang masing-masing menerima RM14,000 ialah Rumah Anak Yatim Jireh, Yayasan Nur Jauhar, Persatuan Bagi Orang-orang Istimewa Labuan (PBOIL), Rumah Anak Yatim ar-Raudah dan Rumah Anak Yatim Bukit Harapan.

Kesemua sumbangan itu diserahkan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam Majlis Rumah Terbuka Repsol di Hotel Magellan Sutera Harbour Resort di sini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Johnny Mositun dan Datuk Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeoh Boon Hai.

Dalam program tersebut, Repsol turut menyerahkan sumbangan duit raya kepada  50 anak yatim daripada beberapa rumah kebajikan di daerah ini.

Farid dalam ucapannya berkata, kesemua dana tersebut dikutip melalui aktiviti kesukarelawan oleh kakitangan syarikat iaitu ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu.

"Salah satu daripada kegiatan kakitangan kami ialah menawan puncak tertinggi Asia Tenggara setiap tahun dan sejak dimulakan pada 2013, sebanyak RM350,000 telah berjaya dikutip untuk badan-badan amal.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan syarikat cari gali itu, menurut Farid, pada Jun lalu, sebuah pelantar minyak baharu telah siap dibina dan dipasang di luar pantai Sabah.

Tambahnga, Repsol turut berusaha meningkatkan lagi operasi mereka di Semenanjung melalui pemasangan fasiliti pengeluaran di luar pantai Terengganu Ogos depan.

"Seperti mana yang dimaklumkan tahun lalu, Repsol telah memeterai lanjutan Kontrak Perkongsian Pengeluaran dengan Petronas dan PetroVietnam bagi kawasan yang terletak di sempadan Malaysia - Vietnam.

"Selain pelaburan perniagaan, kami juga memberi sumbangan dalam melaksanakan program kemasyarakatan bersama agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan demi meningkatkan kedudukan sosioekonomi masyarakat," tambah beliau. - UTUSAN ONLINE