Tinjauan Utusan Malaysia dalam PJSR di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila di sini mendapati, para penghuni di situ amat gembira kerana barang yang dibeli bukan sahaja lebih murah, malah pelaksa­naannya di situ turut menjimatkan kos pengangkutan.

Seorang penduduk, Sohini Korimin, 49, berkata, langkah membawa peniaga terus ke kawasan perumahan perlu dite­ruskan kerana bukan sahaja memudahkan pembeli, tetapi turut menguntungkan peniaga kerana mereka mendapat pelanggan yang lebih ramai berbanding biasa.

“Saya amat bersetuju dengan usaha kerajaan yang membawa peniaga terus ke kawasan perumahan penduduk. Kami tidak perlu pergi ke tempat lain untuk mendapatkan bekalan makanan.

“Kebiasaannya, saya terpaksa ke pasar menaiki bas dan perlu membayar tambang. Tetapi, menerusi program seperti ini, ia lebih menjimatkan perbelanjaan dan kami boleh mendapatkan barangan yang harganya jauh lebih murah,” katanya ketika ditemui.

Pertama kali berbelanja dalam PJSR, Saleha Indra, 70, berkata, usaha tersebut amat bagus dan perlu dilakukan lebih kerap untuk membantu rakyat daripada dibebani dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Katanya, harga yang ditawarkan oleh para peniaga di situ amat berpatutan, terutama untuk barangan keperluan asas se­perti minyak masak dan lain-lain

“Penduduk luar bandar se­perti kami memang mengharapkan program sebegini. Sebelum ini kami cuba bergantung kepada kedai runcit berhampiran.

“Jualan semasa karnival ini ternyata lebih murah. Contoh­nya, satu paket minyak masak yang biasanya dijual RM3.60, kali ini ia cuma RM2.50,” jelas­nya.

Amdan Ahan, 47, dari Kampung Kenangan Manis yang terletak berhampiran, turut tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan di karnival itu meskipun bukan menetap di PPR Sungai Manila.

“Saya mendapat info ber­kenaan karnival ini daripada rakan-rakan. Saya datang bersama isteri untuk berbelanja. Harga barangan di sini ternyata lebih murah berbanding membeli di kedai.

“Saya menyokong penuh penganjuran karnival ini. Kami tidak perlu pergi jauh ke pasar untuk berbelanja. Ia juga ter­nyata menjimatkan perbelanjaan keluarga kerana tidak perlu menaiki bas ke pasar. Walaupun kadar tabang lebih RM5 untuk ke pasar, tetapi kadar itu besar buat kami golongan berpendapatan rendah.

Manakala Lakaseng Labambang, 45, dari Kampung Jawa 1 juga mencadangkan supaya PJSR diadakan lebih kerap sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Saya dan jiran-jiran mendapati program sebegini amat baik diteruskan kerana membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Walaupun harga murah, te­tapi barangan yang dijual tetap berkualiti dan setanding dengan di kedai,” jelasnya.