Perkara itu dinyatakan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Rodzi Md. Saad dan berkata, pembukaan itu menjadikan jumlah keseluruhan PTS di negeri ini sebanyak empat buah PTS.

“Pembinaan PTS Menggatal te­lah siap sepenuhnya tetapi sedang menunggu bekalan air disalurkan bagi membolehkannya beroperasi. Kita menjangkakan pada pertengahan Januari 2015.

“Dengan pembinaan itu, jumlah PTS di negeri ini menjadi empat buah dan semua PTS tersebut mampu menampung seramai 8,000 PATI dalam satu masa,” katanya di sini semalam.

Setakat ini, tiga buah PTS iaitu masing-masing di Tawau, Sandakan dan Papar mampu menempatkan seramai 5,500 PATI dalam satu masa.

Rodzi menjelaskan, pembukaan itu dilihat menggalakkan pihaknya termasuk agensi penguatkuasaan melaksanakan operasi bersepadu membanteras PATI di negeri ini.

“Lebih ramai PATI yang ditahan boleh ditempatkan di PTS sebelum proses pengusiran ke negara asal masing-masing dilakukan,” katanya.

Sementara itu, beliau membe­ritahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri di bawah MKN meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir terutama menjelang akhir tahun ini.

Ujarnya, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman mengarahkan semua agensi dan pihak berkaitan di kawasan berisiko dilanda banjir membuat persediaan bagi menghadapi bencana alam itu.

Kata beliau, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, Sabah tidak menerima taburan hujan yang menyebabkan keberangkalian banjir besar melanda ne­geri ini namun, beberapa kawasan se­perti Kinabatangan, Sandakan, Pitas, dan Kota Marudu dijangka menerima lebihan hujan pada bulan hadapan.

“Oleh itu, saya menasihati penduduk di kawasan berkenaan sentiasa mengikuti perkembangan ramalan cuaca dan kedudukan paras air di sungai-sungai berhampiran serta bersedia berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian,” katanya.