Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM90 juta PIA dan Pias yang diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada negeri ini di dalam Bajet 2018.

Katanya, penganugerahan pro­jek-projek tersebut ialah ko­mitmen kerajaan negeri untuk membangunkan Sabah selain me­mastikan golongan kontraktor mendapat kerja untuk menjana pendapatan.

“Oleh itu, saya berharap agar para kontraktor yang telah diundi akan melaksanakan projek dengan cekap dan berkesan tanpa mengabaikan kualiti dan spesifikasi yang telah ditetapkan dan semua projek perlu disiapkan dalam tempoh empat hingga lapan minggu bagi memastikan nikmat pembangunan dirasai rakyat.

“Dalam masa yang sama, ini penting kerana melambangkan imej dan kredibiliti kerajaan dalam memacu usaha-usaha pembangunan termasuk penyediaan kemudahan infrastruktur untuk seluruh rakyat di negeri ini,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dalam majlis undian berkomputer PIA dan Pias di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani; Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Datuk Ruji Ubi; Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Mohd. Hamsan Awang Supain dan Ke­tua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya.

Menurut Musa, setiap kali peruntukan disediakan untuk projek-projek kepada kontraktor kecil yang merupakan golongan bumiputera, kerajaan segera menyerahkannya kerana menyedari keperluan mereka untuk terus mendapat pekerjaan.

Tambahnya, pengagihan projek menggunakan sistem cabutan berkomputer adalah bukti ketelusan kerajaan dan memastikan pelaksanaannya lebih cepat serta berkesan.