ARMIZAN
ARMIZAN

Ketua Pemuda UMNO Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan drastik berbanding ketika Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mula mentadbir negeri pada 2003 iaitu hanya 10 peratus atau 850,000 hektar.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah merizabkan sebanyak 52 peratus kawasan hutan simpan manakala Jabatan Perhutanan pula sedang giat membuat penanaman semula kawasan hutan yang menyaksikan ketika ini seluas 700,000 hektar tanah telah ditanam semula.

“Pada tahun 1972, dalam keadaan di mana negeri bergantung penuh kepada hasil balak, hasil kerajaan hanya RM172 juta setahun sebaliknya pada tahun 2016, hasil Kerajaan negeri telah meningkat berkali-kali ganda mencecah lebih RM3.5 bilion dan hanya 13 peratus datangnya daripada hasil balak.

“Maknanya, Sabah telah berjaya menggerakkan agenda transformasi ekonomi dengan mempelbagaikan sumber pendapatan dan keluar daripada kebergantungan penuh kepada sektor pembalakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan pihak tidak bertanggungjawab kononnya aktiviti pembalakan berlaku secara berleluasa di negeri ini melalui penyebaran video di laman sosial yang menunjukkan beberapa lori balak sarat dengan muatan berada di Jalan Sapulut - Kalabakan baru-baru ini.

Armizan berkata, dakwaan tersebut memberi gambaran yang salah kerana balak-balak berkenaan sebenarnya dikeluarkan secara sah, malah lori-lori balak yang direkodkan di dalam video berkenaan sebenarnya berhenti di Stesen Jabatan Perhutanan untuk pemeriksaan.

Tegas beliau, perkara tersebut sepatutnya mendapat pujian kerana membuktikan pihak berkuasa sentiasa menjalankan tugas memantau perjalanan industri balak negeri bagi memastikan hanya syarikat yang mempunyai lesen diberi kebenaran.

“Ternyata pihak yang ingin menjejaskan kredibiliti kerajaan negeri tersilap kerana realitinya, pengurusan hutan di Sabah pada hari ini adalah yang terbaik di Malaysia dan mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara.

“Daripada sebuah negeri yang terkenal dengan ‘politik balak’ dan kadar kebergantungan tinggi kepada hasil balak sehingga mencecah 85 peratus dalam hasil negeri, hari ini pengurusan khazanah hutan di Sabah telah melalui proses transformasi yang amat membanggakan apabila kebergantungan itu telah jauh dikurangkan kepada hanya sekitar 13 peratus,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE