Pengerusi Persatuan Kebajikan Generasi Endrekang Sabah Erwin @ Batilis Jaraman berkata penduduk kampung berkenaan, yang melibatkan 23 keluarga, akur dengan perintah mahkamah untuk mengosongkan kawasan itu, namun memerlukan masa untuk mencari tempat tinggal.


"Sejak sekian lama, penduduk kampung tidak dapat tidur dengan lena kerana memikirkan di mana hendak mencari tempat tinggal setelah lama tinggal di kampung ini (Kampung Tinusa 1)," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini selepas berunding dengan wakil mahkamah yang tiba di kampung itu bersama sepasukan polis, Jabatan Air Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd untuk melaksanakan perintah mahkamah itu hari ini.


Erwin berkata pihaknya bersama beberapa penduduk kampung, yang juga anggota persatuan itu, berharap mereka diberi peluang untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah bagi mengajukan masalah penduduk kampung berkenaan.

"Wakil mahkamah dan wakil peguam penuntut tanah kampung ini bersetuju untuk tidak mengusir penduduk kampung hari ini, namun akan menguatkuasakan perintah mahkamah itu pada bila-bila masa akan datang.


"Oleh itu, kami perlu bertindak segera untuk membantu mencari tempat untuk memindahkan penduduk kampung," katanya lagi.


Erwin turut memberitahu susulan perhimpunan penduduk kampung itu pada 7 Jan lepas bagi memohon kerajaan mengiktiraf hak mereka ke atas tanah itu, kerajaan telah memberi respons positif dan akan meneliti masalah penduduk kampung itu.


Penduduk kampung itu mendakwa berlaku pertindihan pemilikan ke atas tanah kampung itu, yang mereka dakwa tanah itu berstatus anak negeri (NT), manakala pihak penuntut tanah mempunyai geran berstatus pegangan pajakan (CL).


Namun, selepas beberapa kali merayu di mahkamah, keputusan mahkamah berpihak kepada penuntut tanah. - BERNAMA