Beliau berkata, hakikatnya, hanya dalam tempoh 15 tahun bermula 2004, ekonomi Sabah telah membangun dengan pesat sehingga berada di kedudukan kelima tertinggi di Malaysia.

“Dalam tempoh tersebut, pendapatan kerajaan negeri telah meningkat tiga kali ganda daripada hanya RM1.7 bilion pada 2004 kepada RM4 bilion setahun sekarang manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM73.8 bilion pada 2016.

“Ada pihak mendakwa bahawa Sabah dahulu kaya, sekarang miskin, dahulu maju, sekarang mundur. Sama ada fakta atau auta, benar atau palsu, mari kita lihat beberapa indikator penting ini,” katanya ketika pelancaran Manifesto BN Sabah bertemakan Ta­nah Airku Maju di Kompleks Sukan Likas di sini malam tadi.

Manifesto tersebut yang mempunyai 20 komitmen adalah bersifat realistik tidak seperti pembangkang yang hanya memberikan janji-janji populis kepada rakyat untuk mendapat undi.

Musa berkata, tuduhan pembangkang kononnya balak di Sabah telah habis sepenuhnya juga adalah satu pembohongan kerana negeri ini mempunyai 53 peratus kawasan hutan yang terpelihara, malah kadar Kawasan Perlindu­ngan Penuh (TPAs) Sabah adalah hampir 30 peratus iaitu me­lebihi piawaian antarabangsa yang ­me­netapkan 10 peratus sebagai kadar minima.

Katanya, langkah tersebut adalah kerana kerajaan berjaya mempelbagaikan sumber ekonomi negeri menjadikan pergantungan terhadap hasil hutan hanya 13 peratus sekarang berbanding 85 peratus sebelum ini.

“Ada pihak mendakwa balak Sabah telah habis, kononnya kerajaan BN mengeksploitasi khaza­nah hutan Sabah, tetapi itu cerita auta, kita juga telah melaksanakan penanaman semula kawasan hutan melebihi 700 ribu hektar.

“Matlamat kita menjadikan Sabah jauh lebih maju, Negeri Di Bawah Bayu, di atas mercu. Oleh itu, tanggapan bahawa Sabah adalah negeri termiskin adalah pembohongan besar semata-mata,” jelas beliau.

Tambah Musa, kejayaan tersebut bukanlah bertujuan untuk mendabik dada, sebaliknya ia merupakan rekod kerajaan BN di Sabah, justeru rakyat perlu memilih parti itu dalam PRU-14.