Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Mohd Zaidi Abdullah berkata pegawai penyiasat yang menyiasat kejadian itu melihat pemandu bas persiaran berusia 33 tahun itu membuang sesuatu ke dalam longkang di lokasi kejadian.


"Hasil pemeriksaan (ke atas benda yang dibuang pemandu ke dalam longkang) mendapati sebuah beg kecil bewarna merah berisi alat menghisap dadah syabu dan satu peket kecil lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis metamphetamine (syabu).

"Sampel air kencing dan darah pemandu akan diambil bagi tujuan (analisis) kimia/toksikologi," katanya kepada Bernama hari ini.


Menurut Mohd Zaidi, selain disyaki memandu di bawah pengaruh dadah, siasatan awal pihaknya juga mendapati bas itu mungkin dipandu laju sehingga pemandu gagal mengawal kenderaannya menyebabkan bas itu terbalik.


Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 5.30 petang itu, enam daripada 18 penumpang di atas bas yang menghala ke Jeti Tazmahal di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud dari Nexus Karambunai, Sepanggar, mengalami kecederaan. Pemandu bas turut mengalami kecederaan ringan.


Kesemua mangsa kemalangan berkenaan dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan dan pemeriksaan.- BERNAMA