Beliau berkata kelewatan untuk proses pelantikan MPKK di Sabah kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi termasuk pemilihan calon yang sesuai.


Ewon Benedick
Ewon Benedick 

"Di peringkat daerah kami telah wujudkan satu jawatankuasa penapisan yang dipengerusikan oleh pegawai daerah di kawasan berkenaan. Pemilihan calon MPKK juga mengambil masa kerana ada beberapa kriteria yang perlu diambil kira termasuk umur dan latar belakang calon.

"Saya berharap pelantikan ini mencakupi keseimbangan politik dan sensitiviti suku-suku etnik di daerah masing-masing," katanya kepada pemberita selepas memberikan amanat kepada pegawai daerah di Sabah, di sini hari ini.


Beliau berkata kerajaan akan berusaha mempercepatkan proses pelantikan berkenaan kerana mengambil kira teguran daripada rakyat mengenai kelewatan pelantikan MPKK.

"Saya difahamkan proses penapisan calon MPKK di tujuh daerah telah disiapkan dan ia akan diserahkan oleh wakil rakyat di kawasan itu dalam masa terdekat," katanya.


Sehubungan itu, Ewon meminta agar MPKK yang telah dilantik menyediakan profil kampung masing-masing seperti yang telah ditetapkan oleh pegawai daerah.


"Saya juga dimaklumkan bahawa sejumlah RM3 juta peruntukan awal telah pun tersedia di peringkat persekutuan untuk geran aktiviti MPKK bagi tahun ini. Sudah tentu kawasan yang telah pun awal menyiapkan pelantikan MPKK dan profil kampung, menjadi yang terawal untuk menerima geran tersebut," katanya.


Sementara itu, diminta mengulas mengenai pelantikan ketua kampung di Sabah, Ewon berkata pelantikan ketua kampung adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.


"Namun saya difahamkan beberapa kawasan di Sabah telah mempunyai ketua kampung," katanya. - BERNAMA