Siapa sangka dalam kawasan ini sahaja, terdapat sembilan bandar satelit yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat. Antaranya Bandar Kim Fung, Bandar Pasaraya, Bandar Prima, Bandar Indah, Bandar Maju, Bandar Letat, Mid Town, BDC dan Bandar Tong Hup.

Selain itu, Elopura juga terkenal dengan pasar malamnya yang dibuka di Bandar Kim Fung pada setiap Sabtu. Dianggarkan, kira-kira 5,000 orang mengunjungi pasar malam itu dan jumlahnya meningkat mencecah 9,000 orang pada musim perayaan.

Terbaharu, sebuah Terminal Bas Bersepadu juga telah siap dibina sepenuhnya dan akan mula beroperasi dalam tempoh terdekat. Tapak asalnya sebelum ini merupakan penempatan setinggan yang telah dirobohkan dan kini ditransformasi menjadi satu lagi kemudahan bagi sektor pengangkutan awam.

Bagi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Chan Tzun Hei, limpahan pembangunan itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Elopura dan daerah Sandakan itu sendiri adalah kawasan orang tua.

“Dalam kawasan Elopura sahaja kita mempunyai sembilan bandar satelit dan semuanya aktif dengan aktiviti perniagaan. Saya melihat kehadiran orang muda itu ada dan sebenarnya merekalah yang membantu membangunkan ekonomi setempat dengan membuka perniagaan di bandar-bandar satelit ini.

“Sebab itu saya melihat ada keperluan untuk membangunkan lebih banyak perumahan mampu milik ataupun rumah transit se­perti yang dibina di Kuala Lumpur bagi memberi peluang kepada golongan muda untuk membentuk keluarga dan dalam masa yang sama mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Pada ketika ini, DUN Elopura mempunyai dua kawasan perumahan yang dibangunkan oleh kerajaan BN iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra yang mempunyai 1,000 unit rumah serta Program Perumahan 1Malaysia (PP1M) yang sedang giat dibangunkan dan dijangka siap pada tahun depan.

Selain itu, Elopura yang dahulunya mempunyai banyak penempatan setinggan, kini nampak lebih teratur selepas pelaksanaan program perobohan setinggan yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa Kawalan Keselamatan Khas Pantan Timur Sabah (Esscom) dan kerajaan negeri.

Tzun Hei yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda Gerakan berkata, inisiatif berkenaan adalah untuk memastikan keselamatan penduduk di Sandakan termasuk Elopura itu sendiri lebih terjamin.

“Namun kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib penduduk tempatan kerana mereka yang terlibat program perobohan rumah ini telah ditempatkan semula di Taman Harmoni. Kini mereka dapat menikmati kemudahan seperti air dan elektrik yang lebih teratur selain dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Ketika ini, masih terdapat dua buah kawasan setinggan iaitu Kampung Forest dan Kampung Mangkalinau, tetapi penempatan semula penduduk di kawasan ini akan dilakukan selepas fasa kedua Taman Harmoni yang me­libatkan 1,500 unit rumah siap dibina,” jelasnya.

Di samping perumahan, antara kemudahan lain di Elopura adalah termasuk hospital, pusat kesihatan serta Klinik 1Malaysia yang sememangnya menjadi tumpuan umum bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Menurut Tzun Hei, sejak 10 tahun lepas, hospital di daerah ini sememangnya telah menerima beberapa fasa penaiktarafan bagi membolehkannya menampung keperluan perubatan lebih banyak penduduk setempat.

“Tetapi dalam masa yang sama, tidak dinafikan masih ba­nyak lagi kemudahan dan perkhidmatan yang perlu ditambahbaik di hospital ini memandangkan permintaan penduduk yang semakin meningkat.

“Saya percaya kalau kita mempunyai kerajaan serta politik yang lebih stabil, akan lebih banyak benda yang boleh kita bawa untuk hospital ini. Oleh itu, kalau BN berjaya memenangi kerusi DUN Elopura dan Parlimen Sandakan semula, saya percaya lebih banyak pembangunan khususnya untuk kebajikan penduduk di sini akan dapat dilakukan.

“Adalah lebih senang untuk wakil rakyat daripada BN memohon peruntukan atau pembangunan secara terus kepada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri,” katanya.