Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, masalah berkenaan tidak selesai kerana setiap parti mempunyai haluan sendiri, malah ada yang telah mengumumkan mahu bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen manakala ada pula pemimpin yang menetapkan mahu menjadi Ketua Menteri sekiranya dapat menewaskan BN.

Beliau yang juga Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) berkata, walaupun ada usaha untuk bersatu namun, tidak akan berjaya dengan kehadiran pemimpin yang telah menyimpan angan-angan memegang jawatan tertinggi jika menang sedangkan fokus utama adalah untuk membantu rakyat dan mempertahankan hak negeri ini.

Tegasnya, perkara tersebut diburukkan lagi dengan tindakan parti pembangkang dari Semenanjung seperti DAP yang turut mahu menambah kerusi menyebabkan berlaku pertembungan antara mereka dalam PRU-14 nanti.

“Kita usahakan untuk bekerjasama, semua percaya kita mempunyai matlamat sama jangan yang lain ada matlamat lain, dia mahu jadi Ketua Menteri kalau menang ini matlamat apa. Apa guna jadi Ketua Menteri jika sama juga rakyat masih susah, masih miskin, pembangunan tiada.

“Rakyat tidak yakin kita boleh menumbangkan kerajaan yang ada sekarang sebab kita berpecah, BN walaupun ada 14 komponen mereka satu logo, satu manifesto kita pula berapa banyak manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan manifesto dia, Parti Gabungan Sabah ada manifesto, Parti Cinta Sabah pula ada manifesto,” katanya.

Lajim berkata demikian ketika diminta mengulas percakaran yang berlaku antara parti pembangkang di Sabah selepas berakhir sesi sidang DUN Sabah hari ini.

Mengulas lanjut pertelingkahan yang berlaku, Lajim mengakui akan wujud pertembungan sehingga empat atau lima calon dalam satu kawasan pada PRU-14 disebabkan penyertaan banyak parti pembangkang yang akhirnya menyebabkan rakyat kembali kepada BN.

“Kamu sendiri boleh nampak kita mahu berusaha (tapi) kalau orang tidak boleh terima? Ada yang sudah umum mahu bertanding di 73 DUN, 25 Parlimen, mana ada lagi kerjasama, ini sangat jelas.

“Kita tengoklah, ini merugikan, satu ialah hilang keyakinan rakyat kepada pembangkang sebab kalau kita bertanding empat atau lima calon dalam satu kawasan, BN cuma satu, maka kita pecah undi.

“Pemimpin pembangkang ini harus berjiwa rakyat termasuk bukan sahaja parti tempatan tetapi juga dari Semenanjung jangan tunjukkan mereka itu kuat sebab ada penyokong, kita tempatan pun ada penyokong juga, kalau mahu ambil Putrajaya bagi peluang parti tempatan bertanding dan kita sumbang kerusi-kerusi itu untuk tubuh kerajaan Persekutuan tidak perlulah datang sini,” tambah beliau.